Al-Hasan meriwayatkan,
bahawa dahulu ada seorang pelacur yang sangat cantik jelita. Dia tidak
mahu melayani orang yang datang kecuali jika dibayar sebanyak seratus
dinar.
Secara kebetulan pada
suatu hari ada seorang ahli ibadah yang melihat wajah pelacur cantik itu
sehingga membuatkan ahli ibadah itu tertarik dan jatuh cinta kepadanya.
Kerana lelaki ahli
ibadah itu mengetahui, bahawa untuk dapat dilayani oleh pelacur cantik
itu orang harus memberinya wang sebanyak seratus dinar, maka lelaki ahli
ibadah itu akhirnya pergi mencari pekerjaan untuk mengumpulkan wang
sebanyak itu.
Setelah wang sebanyak seratus dinar itu dapat dikumpulkan, dia pun pergi menemui pelacur cantik itu serta berkata kepadanya:
“Kecantikanmu telah membuatkan aku benar-benar tergoda, oleh kerana itu, aku telah berusaha sedaya upayaku untuk mendapatkan wang seratus dinar sebagaimana yang engkau kehendaki itu.”
Wanita pelacur itu berkata: “Silakan masuk ke rumahku.”
Dengan tidak berfikir
panjang, ahli ibadah itu langsung masuk ke rumahnya. Di dalam rumah
pelacur yang cantik jelita itu ada tersedia sebuah tempat tidur yang
dibuat dari emas. Pelacur itu lalu duduk di atas tempat tidurnya dan
berkata: “Marilah segera mendekatiku.”
Ketika lelaki ahli
ibadah itu bermaksud untuk memuaskan nafsunya, pada waktu itu juga
tiba-tiba ia ingat kepada Allah sehingga menggigil seluruh tubuhnya.
Kepada wanita pelacur tersebut lelaki ahli ibadah itu berkata:
“Biarlah aku pergi saja meninggalkan kamu dan wang yang jumlahnya seratus dinar itu ambillah olehmu!”
Wanita pelacur itu
kembali bertanya: “Apakah sebenarnya yang terjadi atas dirimu, bukankah
kamu telah tergila-gila kepadaku sehingga kamu membanting tulang dan
mengeluarkan peluh untuk mendapatkan wang sebanyak seratus dinar? Pada
saat ini kamu telah mendapatkan apa yang kamu inginkan itu, akan tetapi
mengapa kamu akan meninggalkan aku?”
Lelaki ahli ibadah itu
berkata: “Sesungguhnya aku takut kepada Allah SWT dan juga atas
kedudukanku selama ini di sisi-Nya. Berkemungkinan kerana aku akan pergi
meninggalkan kamu, kamu merasa benci kepadaku, ketahuilah olehmu,
sesungguhnya aku juga sangat membenci kamu kerana Allah.
Wanita pelacur itu berkata: “Jika yang kamu katakan itu benar, aku tidak akan bersuami kepada orang lain melainkan kamu.”
Lelaki ahli ibadah itu berkata: “Biarlah aku keluar!”
Wanita pelacur itu menjawab: “Tidak, kecuali bila kamu mahu menjadi suamiku.”
“Tidak, biarlah aku keluar dari rumahmu ini!” kata lelaki itu.
Wanita itu kembali bertanya: “Apakah yang membuatmu merasa keberatan bila aku memohon kepadamu supaya engkau mahu menikahi aku?”
Lelaki itu menjawab:
“Untuk menjadi isteriku boleh saja, akan tetapi aku harus pergi
meninggalkan tempat ini kembali ke tempat biasanya aku melakukan
ibadah.”
Selepas berkata
demikian, lelaki ahli ibadah itu langsung pergi meninggalkan rumah
pelacur tersebut. Begitu juga dengan wanita pelacur itu ia ikut serta
keluar dari daerahnya untuk bertaubat kepada Allah dan menyesali segala
perbuatan yang telah dilakukannya.
Wanita pelacur itu terus berjalan, hingga akhirnya ia sampai ke tempat asal lelaki ahli ibadah tersebut.
Kepada ahli ibadah tersebut seseorang datang menemuinya dan berkata: “Sesungguhnya permaisurimu telah datang kepadamu.”
Ketika ahli ibadah
melihat kedatangan wanita itu, ia terkejut dan langsung terjatuh dalam
pelukan wanita pelacur yang cantik jelita itu. Pada waktu itu juga
lelaki ahli ibadah tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Melihat keadaan
demikian, kepada orang yang hadir wanita pelacur yang telah bertaubat
itu bertanya? “Apakah lelaki idamanku yang telah meninggalkanku buat
selama-lamanya ini ada mempunyai saudara?”
Orang yang hadir pada
waktu itu menjawab: “Ia ada mempunyai seorang saudara lelaki, akan
tetapi saudara lelakinya itu hidup dalam keadaan kemiskinan.”
“Jika memang demikian, aku akan menikah dengannya sebagai ganti dari lelaki yang aku cintai ini,” kata wanita itu.
Akhirnya wanita tersebut
menikah dengan saudara lelaki ahli ibadah itu dan dari hasil pernikahan
tersebut, Allah SWT mengurniakan kepada mereka sebanyak tujuh orang
anak yang kemudian ketujuh orang anak tersebut menjadi nabi semuanya.
*Sumber dari peribadirasulullah.wordpress.com
Sumber- detikislam
0 comments:
Post a Comment