Guablog

Monday, 10 March 2014

Pengurusan Masjid Digalak Adakan Solat Hajat Mohon Pesawat MH370 Ditemui




KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Semua masjid di seluruh negara digalakkan mengadakan solat sunat hajat untuk mendoakan agar pesawat Malaysia Airlines yang hilang awal pagi semalam itu dijumpai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam kenyataan pada Ahad berkata beliau mengarahkan masjid di seluruh Wilayah Persekutuan, Labuan dan Putrajaya agar segera melakukan solat sunat hajat secara berjemaah.

"Berkat doa dalam usaha mencari dan menyelamat, semoga Allah mempermudahkan penemuan pesawat berkenaan," katanya.

Beliau berkata cara ini merupakan antara sumbangan dan bantuan secara tidak langsung dapat diberikan atas rasa keprihatinan rakyat Malaysia terhadap mangsa yang terlibat.

Di KUALA TERENGGANU, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) memohon agar semua masjid di negeri itu mengadakan solat hajat untuk tujuan yang sama.

Pesuruhjaya JHEAT Datuk Mohd Rozali Saleh berkata pihaknya memohon agar 500 masjid di negeri itu mengadakan solat hajat.

"Itulah yang kita mampu lakukan dengan memohon masjid-masjid yang ada di negeri ini supaya mengadakan solat hajat agar pesawat itu serta penumpangnya ditemui dalam keadaan selamat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pesawat MH370 membawa 239 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal dilaporkan hilang daripada radar, kira-kira dua jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Beijing, China pada 12.41 pagi Sabtu.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi.

0 comments:

Post a Comment

Arkib Blog