Tidak semua orang pernah mendapat rawatan di dalam wad hospital. Pengalaman tinggal di hospital
adakalanya membosankan kerana tidak tahu apa yang ingin dilakukan
selain mengikuti rutin memakan ubat setiap hari. Namun terdapat satu kisah di mana pengalaman seorang pesakit ini telah diganggu satu lembaga hodoh di hospital. Lembaga tersebut muncul dan cuba menakut-nakutkan lelaki tersebut. Ikuti kisah di bawah ini.
Beberapa tahun yang lalu, aku telah dimasukkan ke hospital. Inilah kali pertama aku menjadi ‘penghuni sementara’ di sebuah hospital.
Aku ditempatkan di sebuah bilik yang menempatkan enam orang pesakit.
dan katilku terletak di tengah-tengah. Semua pesakit di bilik itu
berbangsa Cina yang lanjut usia. Hampir setiap malam aku tidak dapat lena kerana ‘kekenyangan’ tidur pada siang hari.
Pada suatu malam, kira-kira jam 9, aku
terasa ingin membuang air kecil. Tetapi aku takut untuk ke bilik air
yang terletak agak jauh dari tempatku. Ditambah lagi, lampu di luar
sudah dipadamkan. Disebabkan tidak tahan, akhirnya aku memberanikan diri
untuk ke bilik air, khuatir akan ‘terbuang’ di atas katilku. Aku
berjalan perlahan-lahan menuju bilik air. Setibanya di situ, aku dapati
bilik air itu kosong. Namun aku terdengar seperti bunyi orang yang sedang menyelongkar sesuatu dalam tong khas untuk membuang tisu yang telah dipakai.
Aku cuba memeriksa setiap tandas, tetapi semuanya kosong. Apabila aku
pergi ke tandas terakhir yang bersebelahan dengan tingkap, aku dapati
pintunya tertutup dan mungkin juga dikunci dari dalam. Aku pun biarkan
sahaja kerana pada sangakaanku, mungkin ada orang di dalamnya.
Aku pun pergi ke sinki untuk mambasuh
muka sementara menunggu orang yang ada di dalam tandas terakhir itu
keluar. Aku memang selalu ke tandas itu dan tidak pernah ke tandas lain
melainkan untuk mandi. Lama juga aku menanti. Apabila aku rasakan begitu
lama, aku kembali menjenguk tandas itu semula dan… alangkah
terperanjatnya aku apabila mendapati tiada sesiapun di dalamnya. Pintu
terbuka luas, tidak tertutup seperti tadi. “Bila masa orang ni keluar, tak nampak pun,”
kataku sendirian. Aku mula terasa takut. apa tidaknya, hampir 10 minit
aku menantinya di luar, tiba-tiba tandas itu kosong dan pintunya terbuka
padahal aku yang berada di luar tak nampak sesiapapun semasa aku
mencuci muka tadi.
Oleh kerana terlalu takut, aku tak jadi
buang air dan terus balik ke bilikku. Aku cuba tenangkan perasaanku.
Sepanjang malam aku gelisah dan tidak boleh tidur. Puas aku cuba
memejamkan mata, tetapi gagal. Dalam kegelisahan begitu, tiba-tiba aku
terpandang sesuatu di luar tingkap. Dalam kesamaran, aku
ternampak kepala orang yang sedang memerhatikan aku. Rambutnya putih,
kusut masai ke paras bahu, mukanya hodoh, terkopek-kopek dan berdarah.
Matanya cengkung termasuk ke dalam. Aku benar-benar terpaku. Mataku
tidak berkelip memandangnya. Darahku berderau, naik ke muka, jantungku
berdebar-debar. Bulu romaku berdiri tegak dan tubuhku terasa seram
sejuk. Mulutku seolah-olah terkunci untuk berkata-kata. Dalam hatiku
berdoa…”Ya Allah. Kau selamatkanlah hamba Mu yang lemah ini.”
Tiba-tiba seorang pesakit menekan butang untuk memanggil jururawat kerana ingin membuang air. Apabila jururawat itu datang, lembaga itu tetap ada di situ. Aku cukup hairan, mengapa jururawat itu tidak nampak lembaga itu sedangkan ia benar-benar berada di hadapannya. Lama-kelamaan, lembaga yang tidak berbadan itu perlahan lahan naik ke atas dan terus menghilang menembusi siling. Aku yang sepatutnya dibenarkan pulang keesokan harinya terpaksa ditahan sehari lagi kerana demamku terlalu kuat dan suhu badanku naik terlalu tinggi. Kini, segalanya telah pun berlalu. Namun, peristiwa seram itu tetap terpahat dalam ingatanku dan tidak mungkin aku dapat lupakan.
Sumber: kisahbest
0 comments:
Post a Comment