SHAH ALAM – Teori yang mengatakan pesawat MH370 berkemungkinan dirampas
pihak tertentu sebelum pesawat tersebut dilaporkan berakhir di Lautan
Hindi, masih boleh diterima dan tidak boleh ditolak begitu sahaja.
Walau bagaimanapun, persoalan utama ialah siapa individu yang merampas pesawat tersebut dan tanda tanya itu sukar untuk dikupas.
Menurut sumber, arah tuju pesawat yang menghala ke Lautan Hindi itu
sendiri telah menunjukkan pesawat itu dirampas dan bukan akibat masalah
pada pesawat ataupun dikawal dari jarak jauh.
“Pesawat itu menuju ke Lautan Hindi iaitu lautan yang amat sunyi dan sudah tentu ia menuju ke suatu tempat yang tidak diketahui.
“Saya percaya ia melibatkan rampasan tetapi yang menjadi persoalan ialah
siapa yang merampas pesawat itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau juga menolak teori mengatakan bahawa juruterbang, Kapten Zaharie
Ahmad Shah dan pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid bertanggungjawab
dalam rampasan pesawat itu.
Namun katanya, teori yang diperkatakan itu tidak boleh didedahkan secara
terperinci kerana ia akan mencampuradukkan isu membabitkan antara
negara.
“Saya tidak boleh komen lebih lanjut kerana ia akan menyentuh isu antara
negara selain jika benar teori ini benar akan menjadi teori konspirasi
berprofil tinggi," katanya.
Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan
bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi berdasarkan kepada
siasatan syarikat satelit Inmarsat dan Air Accident Investigation Branch
(AAIB) di Britain.
Timbul pelbagai andaian berikutan pesawat tersebut melencong jauh
daripada laluan asal sehingga ke Lautan Hindi yang disifatkan tempat
paling sunyi di dunia.
Sebelum ini, isu rampasan pesawat yang membawa 239 penumpang termasuk 12
anak kapal dibangkitkan pada hari kedua kehilangan pesawat MH370,
selain turut dikaitkan dengan penggunaan pasport palsu oleh dua orang
warga asing yang menaiki pesawat tersebut.
Sehingga kini, polis masih belum menolak andaian pesawat tersebut
dirampas dan turut menyiasat tiga elemen lain yang berkemungkinan motif
kejadian iaitu sabotaj, masalah peribadi serta masalah psikologi
membabitkan semua individu yang menaiki pesawat itu. - Sinarharian