Guablog

Monday 7 April 2014

Gambar Cute Farah Asyikin Bertudung Labuh



Alhamdulillah, semakin ramai artis berhijrah rupanya. Maknanya mereka berhijrah dan berusaha menjadi yang lebih baik. Terbaru penyanyi yang tidak asing lagi iaitu Farah Asyikin mula bertudung labuh.


“Ada sebab mengapa Farah memakai sarung tangan. Sebagai seorang wanita Islam, Farah harus menjaga batas-batas aurat Farah terutamanya bila ingin bersalam-salaman dengan yang bukan muhrim. Jadi, Farah pakai sarung tangan untuk mengelakkan isu-isu sensitif sebegini berlaku.”


Ketika ditanyakan perkembangan beliau yang terkini, Farah masih meneruskan kerjaya beliau sebagai seorang pendidik di Seri Cempaka International School. Beliau yang mengajar subjek ‘Speech & Drama’ mengakui gembira dengan kerja beliau kerana dapat berinteraksi bersama kanak-kanak.


“Farah seronok jadi pendidik di sana. Farah memang suka berkomunikasi dengan budak-budak, jadi Farah kira peluang ini datang tepat pada masanya. Farah bersyukur sangat-sangat atas rezeki yang Allah telah berikan pada Farah ini.”


Sunday 6 April 2014

Kos Cari MH370 TERMAHAL Dalam Sejarah, Kini Cecah RM161 Juta



Kos Pencarian
 
Kos misi mencari dan siasatan ke atas pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu bakal menjadi misi paling mahal dalam sejarah penerbangan, menurut angka yang dianggarkan oleh Fairfax Media.
 Selepas empat minggu, ia sudahpun melepasi kos misi mencari pesawat Air France AF447 yang sebelum ini memegang rekod paling mahal dengan nilai perbelanjaan mencecah $50 juta (RM164 juta).Kos perbelanjaan tinggi ini melibatkan kapal laut, satelit, kapal terbang dan kapal selam yang dihantar ke Laut China Selatan dan Selat Melaka dan selepas itu ke Lautan Hindi pula.
Malaysia Plane  MH370 - Komander US Navy Puji Malaysia  51396661533_620x300
 
Memetik laporan The Sydney Morning Herald, kos kegunaan kapal HMAS Success milik Australia yang digunakan dua minggu lepas berjumlah $510,400 (RM1.67 juta) sehari.
 Kos HMAS Toowoomba pula berjumlah $352,640 (RM1.16 juta) termasuk kos minyak dan kru untuk satu hari. Bila kos kedua-dua kapal ditambah, ia mencecah $9.28 juta (RM30.4 juta) untuk berada di Lautan Hindi.

Tentera Amerika Syarikat turut berbelanja sebanyak $3.62 juta (RM11.87 juta) bagi kegunaan ‘Towed Pinger Locator’ (TPL)’ untuk mencari kotak hitam pesawat MH370.

Laporan yang sama turut berkata bahawa pihak Amerika Syarikat telah berbelanja sebanyak $3.3 million(RM10.8 juta) untuk kegunaan pesawat dan kapal mereka.Vietnam pula telah berbelanja $8 juta (RM26.2 juta) bagi penggunaan lapan pesawat mereka.

Akhbar berkenaan melaporkan bahawa kos lain pula termasuk wang yang diberi oleh kerajaan Malaysia sebanyak $5000 (RM16397.50) kepada ahli keluarga penumpang (bukan kru) dan jumlah keseluruhan menjadi $1.16 juta (RM3.7 juta).

Jumlah sekarang boleh mencecah $49.18 juta (RM161.29 juta) namun ia bukan angka keseluruhan kerana pencarian ini melibatkan 26 negara.

Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama, Angus Houston berkata beliau akan memberikan angka sebenar dalam masa terdekat. “Ia memerlukan wang yang banyak,” jelas beliau. – ASTRO AWANI

Saturday 5 April 2014

Kad Khas Untuk Golongan Pendapatan Rendah Di Kedai Rakyat 1Malaysia



 KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sedang meneliti cadangan penggunaan kad khas untuk membeli barangan di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) khusus kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, langkah itu bagi memastikan hanya rakyat tempatan membeli di KR1M kerana KR1M memang dikhaskan untuk rakyat Malaysia.

Beliau berkata, KR1M merupakan satu subsidi kerajaan untuk rakyat kerana harga barang yang dijual adalah sangat murah berbanding kedai lain.

"Cadangan wujudkan kad khas untuk membeli di kedai KR1M adalah cadangan yang baik kerana ia tidak tersasar daripada tujuan utama kerajaan.

"Namun buat masa sekarang, semua peringkat rakyat dibenarkan membeli barangan di KR1M,” katanya kepada soalan Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) di persidangan Dewan Rakyat hari ini. -Bernama

Friday 4 April 2014

Pakar Motivasi Terkenal Cabul Pelajar?



ARAU – Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di sini, mendakwa dicabul oleh pensyarahnya yang juga penceramah dan pakar motivasi terkenal.

Sumber memberitahu, mangsa yang berusia 20 tahun, mendakwa diperlakukan sedemikian oleh pensyarah berusia 40-an itu ketika berada dalam bilik suspek di IPT berkenaan, jam 2.30 petang Jumaat lalu.

Mangsa pergi ke bilik pensyarah berkenaan selepas diminta oleh suspek, kononnya bagi melakukan uji kaji.

Sebaik memasuki bilik itu, suspek didakwa duduk di sebelah penuntut berkenaan di atas lantai, sebelum meraba kaki mangsa.

Lapor pengurusan IPT

“Selepas itu, tangan suspek dikatakan mula beralih ke dada mangsa beberapa kali. Mangsa yang terkejut, cuba menghalang, namun takut dan terpaksa merelakan perbuatan itu,” kata sumber berkenaan.

Mangsa melaporkan kejadian itu kepada pihak pengurusan tertinggi IPT sebelum membuat laporan di Balai Polis Arau di sini, Isnin lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, mengesahkan menerima laporan daripada mangsa dan siasatan sedang dijalankan.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan mangsa dan sedang mengesan suspek yang kali terakhir berada di bandar ini.

“Kita sudah menghubungi pensyarah itu dan masih menunggunya tampil bagi membantu siasatan serta diambil keterangan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan,” katanya.- Berita Harian

Insiden Misteri Terowong JDT VS T-Team : JDT Menang Percuma 3-0 Tetapi Didenda RM30,000 Kerana Isu Keselamatan! Setuju?



Hukuman JDT

Selepas 2 bulan terjadinya tragedi insiden terowong JDT VS T-Team, akhirnya pihak tertinggi bola sepak Malaysia (FAM) bersidang untuk mencari jalan penyelesaian bagi (TRAGEDI INI)

Akhirnya bersidang selepas 10 jam lamanya, FAM melalui Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menemui “hukuman” yang sesuai yang boleh diberikan kepada pasukan JDT. 

Hasil Keputusan Hukuman FAM Untuk Pasukan JDT?

  • Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya dikenakan denda sebanyak RM30,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung ‘insiden terowong,’. Bermakna ada isu keselmatan bukan?
  • Manakala tindakan ke atas individu yang didakwa terlibat dalam kejadian itu akan dibuat hanya selepas kes itu diputuskan oleh Peguam Negara
  • Tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam insiden berkenaan
  • FAM mengatakan Kes ini sedang disiasat oleh dua pihak iaitu pihak polis dan FAM, hasil siasatan polis telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara
  • Siapakah individu misteri tersebut? Ehem……
Hukuman FAM 

Agak-agaknya jikalau melibatkan negeri lain, adakah begini denda diberikan? Tan Sri Anuar Musa buka mulut terhadap FAM dikenakan ban bertahun (CONTOHNYA DI SINI). Jikalau Kelantan, Sarawak yang “menimbulkan masalah”, berapa agaknya denda & hukuman akan dijatuhkan kepada mereka? Berita Semasa melihat di sini terdapat 2 keputusan yang berbeza iaitu :
  • FAM menghukum T-Team kononnya tiada isu keselamatan, dan keputusan dijatuhkan cukup pantas
  • JDT diberi kemenangan percuma 3 – 0 keatas T-Team
  • FAM menghukum JDT sebab ada isu keselamatan kerana gagal memberi kawalan keselamatan kepada T-Team sehingga pemain dan staf T-Team diserang oleh……….. Itupun selepas 2 bulan? Hebat…..
  • JDT didapati bersalah dan layak ke pusingan seterusnya Piala FA
Inilah yang dikatakan benar-benar luaskan kuasamu….

P/S : Berita Semasa teringat di zaman Khalid Shahdan dan Nasir Yusop. Setiap kali Johor menang, pasti akan dapat cuti negeri Johor. Masa itu pun terpaksa dengar radio untuk mengetahui secara langsung perlawanan bolasepak

PP/S : Baru-baru ini, dilaporkan seorang pemain bintang JDT dibayarkan rumah sewa tanpa had, kereta mewah Mercedez oleh pengurusan JDT. Jadi apalah sangat membayar denda RM30,000?

PPP/S : Berdasarkan semakan Berita Semasa terhadap FIFA, pengadil tidak dibenarkan meneruskan perlawanan andaikata tiada jaminan keselamatan untuk pasukan lawan. Apa respon balas anda pula?

Sumber: beritasemasa

Thursday 3 April 2014

Persoalan Utama Siapa Rampas Pesawat MH370 ?


SHAH ALAM – Teori yang mengatakan pesawat MH370 berkemungkinan dirampas pihak tertentu sebelum pesawat tersebut dilaporkan berakhir di Lautan Hindi, masih boleh diterima dan tidak boleh ditolak begitu sahaja.
Walau bagaimanapun, persoalan utama ialah siapa individu yang merampas pesawat tersebut dan tanda tanya itu sukar untuk dikupas.
Menurut sumber, arah tuju pesawat yang menghala ke Lautan Hindi itu sendiri telah menunjukkan pesawat itu dirampas dan bukan akibat masalah pada pesawat ataupun dikawal dari jarak jauh.
“Pesawat itu menuju ke Lautan Hindi iaitu lautan yang amat sunyi dan sudah tentu ia menuju ke suatu tempat yang tidak diketahui.
“Saya percaya ia melibatkan rampasan tetapi yang menjadi persoalan ialah siapa yang merampas pesawat itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau juga menolak teori mengatakan bahawa juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid bertanggungjawab dalam rampasan pesawat itu.
Namun katanya, teori yang diperkatakan itu tidak boleh didedahkan secara terperinci kerana ia akan mencampuradukkan isu membabitkan antara negara.
“Saya tidak boleh komen lebih lanjut kerana ia akan menyentuh isu antara negara selain jika benar teori ini benar akan menjadi teori konspirasi berprofil tinggi," katanya. 
Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi berdasarkan kepada siasatan syarikat satelit Inmarsat dan Air Accident Investigation Branch  (AAIB) di Britain.
Timbul pelbagai andaian berikutan pesawat tersebut melencong jauh daripada laluan asal sehingga ke Lautan Hindi yang disifatkan tempat paling sunyi di dunia.
Sebelum ini, isu rampasan pesawat yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal dibangkitkan pada hari kedua kehilangan pesawat MH370, selain turut dikaitkan dengan penggunaan pasport palsu oleh dua orang warga asing yang menaiki pesawat tersebut.
Sehingga kini, polis masih belum menolak andaian pesawat tersebut dirampas dan turut menyiasat tiga elemen lain yang berkemungkinan motif kejadian iaitu sabotaj, masalah peribadi serta masalah psikologi membabitkan semua individu yang menaiki pesawat itu. - Sinarharian

Kepala Pelajar MRSM Berasap Dan Mulut Berbuih Akibat Dipanah Petir



Alor Gajah: Rambut berasap, tubuh menggeletar dan mulut berbuih. Itu detik cemas dilalui pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ayer Paabas, di sini, apabila disambar petir dalam kejadian di padang sekolah berkenaan petang kelmarin.

Kejadian jam 6 petang menyebabkan pelajar tingkatan satu, Johan Jasmin, kini koma dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke asrama selepas beriadah bersama 200 pelajar lain sebelum dia tiba-tiba rebah akibat disambar petir.

Mangsa yang berada di tengah kelompok pelajar rebah serentak dengan bunyi dentuman petir menyebabkan badannya menggigil, rambut berasap dan mulut berbuih.

Sumber berkata, ketika kejadian cuaca cerah, namun kedengaran bunyi guruh beberapa kali sebelum guru bertugas mengarahkan mangsa bersama pelajar lain beredar dari kawasan padang dan masuk ke bangunan asrama.

“Ketika kumpulan pelajar beriadah kedengaran bunyi guruh dan beberapa guru memberi arahan supaya beredar meninggalkan padang dan berlindung ke tempat lebih selamat.

Namun, ketika berjalan bersama 200 pelajar lain ke arah bangunan asrama, mangsa tiba-tiba disambar petir.

“Menyedari kejadian itu, guru dan beberapa rakan cuba menggerakkan mangsa, namun tiada tindak balas lalu guru bertugas terus menghantarnya ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan,” katanya, semalam.

Menurutnya, ketika rawatan kecemasan dilakukan, paramedik memaklumkan terdapat kesan lebam dan terbakar selain bau hangit di bahagian kepala mangsa dipercayai disambar petir.

Sumber itu berkata, mangsa yang berasal dari Shah Alam, Selangor, dalam keadaan lemah dan sukar bernafas selain pucat seluruh tubuh lalu diberikan bantuan menggunakan mesin pernafasan sebelum dirujuk ke ICU Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, jurucakap Hospital Melaka berkata, keadaan mangsa masih kritikal dan menggunakan bantuan mesin pernafasan serta kini ditempatkan di ICU hospital berkenaan untuk rawatan selanjutnya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka Md Rashid Husin mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya menunggu laporan penuh mengenai kejadian dari pengurusan sekolah berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

“Saya difahamkan, mangsa bersama pelajar lain berada di atas padang sekolah berkenaan melakukan aktiviti bersukan sebelum diarahkan masuk ke bangunan selepas melihat cuaca gelap.

“Ketika berjalan masuk ke dewan, mangsa secara mengejut rebah dan tidak sedarkan diri lalu dihantar oleh seorang guru pemantau ke Hospital Alor Gajah untuk dapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, difahamkan hanya seorang mangsa saja yang terbabit dalam kejadian berkenaan, manakala lebih 200 pelajar lain selamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu, namun masih belum menerima sebarang laporan polis daripada pihak berkaitan. -
hmetro