Guablog

Wednesday 2 April 2014

Perkembangan Terkini Operasi Pencarian MH370 Di Lautan Hindi


 
Kapal selam Tentera Laut Diraja Britain, HMS Tireless tiba di selatan Lautan Hindi untuk menyertai operasi mengesan pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Kapal selam itu akan disertai oleh sebuah kapal peninjau, HMS Echo yang akan membantu usaha mengesan kemungkinan serpihan yang boleh jadi ada kaitan dengan pesawat itu di permukaan laut.
Pengiriman HMS Tireless dan HMS Echo itu dimaklumkan oleh Setiausaha Pertahanan UK, Philip Hammond kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Selasa.
"Ini adalah sumbangan daripada sahabat Malaysia yang sangat dihargai bukan saja oleh kita tetapi juga negara-negara lain yang menyertai operasi mencari MH370," katanya seperti dipetik oleh Bernama di Honolulu.
Hishammuddin berada di Hawaii untuk menghadiri Forum Pertahanan ASEAN-Amerika Syarikat yang digelar oleh Setiausaha Pertahanan Amerika, Chuck Hagel.
Sementara itu, Hishammuddin melalui akaun Twitternya merakamkan rasa gembira dengan bantuan itu dan berkata Malaysia "tidak akan melupakannya sampai bila-bila."

Selain kerahan aset, UK juga mengirimkan bantuan kepakaran daripada beberapa jabatan kerajaan untuk membantu usaha merungkai misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu.
Empat pegawai tentera udaranya yang sedang berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Australia dan Tentera Udara Diraja New Zealand juga terlibat aktif dalam operasi carian itu.
Sementara itu, penganalisis percaya Tentera Laut Amerika Syarikat juga mungkin sudah mengirimkan kapal selamnya tetapi seperti lazimnya, ia tidak mengumumkan pergerakan kapal selamnya itu.
Dalam masa yang sama transkrip perhubungan radio di antara pesawat MH370 dan menara kawalan yang di dedahkan semalam turut mendapat ulasan daripada Kapten Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain

“Tiada yang pelik di dalam transkrip penuh komunikasi di antara pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dengan pusat kawalan udara.”

Nik Huzlan berkata berkemungkinan transkrip berkenaan lambat disiarkan kerana ia perlu ‘dibersihkan’ terlebih dahulu.

“Biasanya pusat kawalan udara sangat sibuk, pelbagai pesawat akan menggunakan radio seperti China Airline atau Japan Airline.

“Jadi sebelum ianya disiarkan, ia perlu dikenalpasti dan dibersihkan agar hanya perbualan MH370 sahaja yang diambil, yang tidak relevan tidak perlu disiarkan” katanya.

Secara terperinci, Nik Huzlan menerangkan makna perbualan juruterbang dan pusat kawalan udara bermula di ATC Delivery dan Lumpur Ground.

“Biasanya sebelum pesawat terbang, pembantu juruterbang akan mengawal radio dan juruterbang akan mengemudikan stereng pesawat.

“Jadi suara di sini adalah suara pembantu juruterbang” katanya lagi.
Dalam pada itu, Nik Huzlan kurang pasti siapa yang bercakap di radio pada waktu pesawat MH370 memulakan penerbangan.

“Selepas take off, kita tidak dapat pastikan siapa yang bercakap kerana kadangkala juruterbang dan pembantu akan bergilir tugas.

“Ini adalah perkara biasa kerana mungkin ingin memberi peluang kepada pembantu menimba pengalaman menjadi kapten atau mungkin bergilir kerana banyak penerbangan yang telah dilakukan dalam sehari oleh juruterbang” jelasnya.

Nik Huzlan turut menerangkan mengenai perkataan “err” pada jam 12:42:48 yang merupakan suatu lumrah jika tersalah cakap.

“Biasalah jika banyak menerbangkan banyak pesawat, nombor pun boleh  tersasul, saya tidak nampak ada masalah di sini” katanya lagi.

Namun begitu, Nik Huzlan mengakui dihujani pelbagai persoalan dari orang ramai mengapa pada jam 12:50:09 sehingga 01:07:55, transkrip menunjukkan pesawat MH370 mengulangi kata-kata yang sama.

“Mengikut pengalaman saya sebagai juruterbang, kadangkala kita terlupa adakah kita sudah menghubungi pusat kawalan udara atau tidak pada sesuatu ketinggian.

“Sebagai juruterbang, kita takkan buang masa berfikir biasanya kita akan hubungi sahaja kawalan udara semula” terang Nik Huzlan yang sudah mempunyai pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam bidang penerbangan.

Di akhir ulasan, Nik Huzlan turut menyelar pelbagai tuduhan dan publisiti yang tidak baik mengenai Kapten Zaharie Ahmad Shah.

“Ya, siasatan perlu dilakukan secara menyeluruh, namun berita mengenai pergolakan rumah tangga sama ada ia benar atau pun tidak, adalah sangat peribadi dan tidak wajar disebarkan.

Jika benar pesawat terhempas dan beliau tidak selamat, ini merupakan suara terakhir dari beliau” katanya mengakhiri perbincangan.

Ikuti ulasan penuh mengenai transkrip komunikasi pesawat MH370 di SINI
 
Sumber: utaranews

0 comments:

Post a Comment